Terpaksa meminjam wang daripada rakan membuatkan pelakon dan pelawak Shuk Sahar, 39, sedar betapa ‘sahabat menangis bersama’ itu sukar dicari, selain bermuhasabah diri dan banyak berdoa kepada Allah.
Menurut Shuk atau pemilik nama sebenar Mohammad Shukri Mohammed Sahar, ada dalam kalangan rakan pelawak dikenali yang menyekat dirinya daripada semua platform kerana mengikut kata isteri yang minta mereka menjauhkan diri.
“Kira-kira dua tahun saya tiada ‘job’ dalam industri dan kehidupan memang susah terutama dari segi kewangan. Saya cuba hubungi Shuib dan minta tolong hingga pernah meminjam RM10,000 daripadanya ketika itu.
“Selain Shuib, rakan lain banyak bantu saya di waktu susah ialah Nabil Ahmad dan Ebby Yus. Jasa mereka tak akan saya lupakan dan ingat sampai bila-bila,” katanya kepada Metro Ahad.
Tambah Shuk lagi, Nabil membantunya ketika mereka bekerja dengan satu jenama baju raya terkenal namun pihak terbabit sudah memaklumkan kontrak tidak disambung.
“Pada hari yang sepatutnya kami sama-sama kena ‘shooting’ baju raya baharu, saya tak datang dan Nabil hubungi tanya saya ‘kenapa tak ada?’. Saya cakap dah tak ada sebab kontrak tak disambung. Petang itu juga dia ‘bank in’ duit kepada saya.
“Begitu juga dengan abang Ebby Yus yang selalu hubungi saya untuk tanya keadaan okay ke tidak dan lepas itu dia cakap, ‘bagi nombor akaun pada PA abang’. Kemudian, dia terus ‘bank in’ duit juga,” katanya.
Shuk berkata, perasaan malu tetap ada termasuk perlu menagih ‘gift’ daripada pengguna media sosial setiap kali buat ‘live’ (siaran langsung) kerana ia boleh membantu pendapatannya.
“Apapun, syukur Alhamdulillah ketika ini keadaan kewangan saya mula membaik selepas berniaga produk kosmetik iaitu serum muka di TikTok. Saya tak sangka produk itu dapat sambutan positif di pasaran.
“Malah, kerjasama dengan Shuib dan Fizie untuk kendalikan Dol’s Podcast ini memulakan kembali kerjaya seni saya selepas lama menyepi. Tak dinafikan, saya rindu untuk aktif macam dulu,” katanya.
Terdahulu, Shuk pernah menjadi perhatian ramai dan dikecam netizen di media sosial selepas dia terbabit kontroversi kecurangan yang berulang beberapa kali walaupun sudah tampil memohon maaf.
Pernah mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh media sosial iaitu Rossa Sera pada 2015, mereka sah bercerai talak satu pada 22 Mac tahun lalu selepas pulang dari Tanah Suci Makkah mengerjakan umrah.
Hasil perkongsian hidup sembilan tahun, mereka dikurniakan dua anak perempuan, Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assiyfatu Aimi, 5, yang kini menetap dengan keluarga Rossa di Sabah.
Shuk juga kini sudah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan wanita pilihannya iaitu Fara Salleh pada November tahun lalu dalam majlis pernikahan sederhana yang dihadiri keluarga terdekat.- BH Online –
Imedikel TV