Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan komited membantu sebahagian koperasi yang tidak aktif daripada jumlah keseluruhan lebih 15,800 koperasi yang didaftarkan di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya sentiasa mengambil inisiatif untuk membantu mereka Kembali aktif.
“Memang kita tidak nafikan ada koperasi yang tidak aktif. Sebab itu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) khususnya melalui Surhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sentiasa mengambil inisiatif yang bersesuaian untuk membantu koperasi.
“Ini bertujuan untuk koperasi ini kembali aktif dan kembali berniaga tetapi ada juga kes di mana keputusan koperasi itu sendiri atas halangan tertentu, mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan lagi kooperasi,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 Peringkat Negeri Kelantan di sini hari pada Isnin
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Beliau berkata, terdapat beberapa koperasi termasuk yang menerima sumbangan dan anugerah telah memulakan perniagaan runcit sehingga semakin berkembang.
“Perniagaan runcit semakin berkembang pada saya harus menjadi inspirasi. Tidak dinafikan dalam keusahawanan dan perniagaan ada jatuh bangunnya, tetapi saya sangat mengharapkan kisah kejayaan usahawan yang lain.
“Termasuk kisah kejayaan koperasi yang lain itu boleh menjadi motivasi dan inspirasi kepada semua khususnya kepada usahawan dan koperasi,”katanya.
Imedikel TV