TAGIH BANYAK TENAGA

TAGIH BANYAK TENAGA

PEMENTASAN teater Muzikal Randai Mudo Pak Belalang yang bakal dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 10 Ogos ini bukan sahaja mengetengahkan bakat pelakon kanak-kanak, malah akan membawa penonton mengimbau babak dalam filem Nujum Pak Belalang arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Muzikal ini juga menampilkan seramai 20 pelakon kanak-kanak berbakat daripada kumpulan Genius Kids iaitu anak kakitangan dan alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pengarah teater muzikal ini, Mohd Adika Zainal berkata, kumpulan Genius Kids pernah terbabit dalam pementasan randai Badang sebelum ini.

Katanya, seni randai memerlukan banyak pergerakan dan menuntut tenaga yang bukan sedikit.

“Kanak-kanak juga ada keupayaan melakukan pelbagai disiplin pergerakan berbanding orang dewasa yang mungkin menggunakan dua atau tiga pergerakan sahaja.

“Walaupun agak berat tugasan yang dilakukan, kanak-kanak ini sangat seronok dan bersemangat ketika sesi latihan teater ini.

“Disebabkan sangat teruja mereka turut memberi cadangan dari segi pergerakan yang ingin dilakukan dalam pementasan ini,” katanya ketika ditemui pada sesi pratonton dan sidang media muzikal Randai Mudo Pak Belalang di DFP, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Aswara, Raja Nor Sheela Raja Aziddin; Pengurus Produksi, pelakon dan pensyarah jurusan teater di Aswara, Juhara Ayob serta koregrafer muzikal, Mohamed Yusmar Afeendi Yusof.

Berkongsi cabaran pula, kata Mohd Adika, ia membabitkan proses hafal skrip dan cara penyampaian dialog bagi memastikan barisan pelakon berusia tujuh hingga 14 tahun dapat menjayakan watak dengan baik.

“Kita juga perlu menyesuaikan naskhah dewasa kepada kanak-kanak sebab sebelum ini persembahan randai dijayakan pelakon dewasa.

“Selain itu, kita juga perlu menggunakan pendekatan berbeza bagi memudahkan kanak-kanak ini memahami dialog dan lakonan serta cara meniru sesuatu watak atau karakter yang diserahkan.

“Cabaran lain yang terpaksa dihadapi adalah ‘mood’ kanak-kanak terbabit kerana kalau mereka datang latihan dalam keadaan lapar atau mengantuk, susah sedikitlah,” katanya yang mengambil tempoh selama setahun berlatih di mana barisan pelakon mengikuti bengkel seni randai yang diadakan terlebih dahulu.

Katanya, sesi latihan untuk muzikal ini sudah bermula sejak bulan lalu dan persiapan kini sudah mencecah sebanyak 70 peratus.

Sementara itu, koreografer bagi pementasan ini, Mohamad Yusmar Afeendi Yusof berkata, teater berkenaan mengekalkan ciri-ciri randai seperti unsur silat serta tepukan galembong membabitkan sekumpulan kanak-kanak yang bermain dalam bentuk lingkaran.

“Kami masih kekalkan pergerakan asli dalam persembahan randai ini iaitu gerak silat tetapi ada beberapa elemen lagu disuai padan dengan cerita Pak Belalang seperti penyamun.

“Gerakan pula asasnya memang silat tetapi kami cuba olahkan untuk kanak-kanak guna pakai, selain guna galembong yang menghasilkan bunyi hasil dari seluar labuh dipakai,” katanya.

Sempena persembahan di DFP, tiga lagu dipilih sebagai lagu wajib untuk segmen Buka Gelanggang iaitu Budu Landai, Cantik Manis dan Anak Bocek.

Persembahan Randai Mudo Pak Belalang adalah pengisian ketiga DFP Seni Festival 2024 selepas konsert Jit Sin High School’s Chinese Orchestra dan Mek Mulung Putera Cahaya Bulan. – HMetro Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *