Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Jajahan Pasir Puteh menjadi lokasi pertama di Kelantan dalam Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024, sebelum meneruskan perjalanan ke jajahan Bachok, Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai sempena Bulan Kebangsaan, Ogos depan.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor, berkata sepanjang konvoi tersebut, sebanyak 67 kenderaan dan motosikal yang turut serta termasuk agensi kerajaan, swasta, Komuniti Madani, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Suzuki VStrom Owners Club Malaysia (SVOCM).
“Di cek point pertama ini kita anjurkan bersama dengan agensi kerajaan termasuk antara yang kita laksanakan adalah selain daripada kibaran jalur gemilang kita juga mengadakan upacara ikrar rukun negara.
“Saya tengok sudah ada premis dan rumah yang mengibarkan jalur gemilang cuma kita nak hebatkan lagi kibaran jalur gemilang di seluruh negeri kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, di sini, hari ini.
Nor Aswadi berkata, konvoi KMJG tersebut turut melibatkan beberapa buah sekolah menerusi kelab Malaysiaku memandangkan pihaknya mempunyai 81 kelab itu bagi memupuk semangat cinta akan negara bermula di bangku persekolahan.
“Dalam konteks belia ini, kita pupuk daripada sekolah lagi kita gerakkan kelab Malaysiaku sebagai platform untuk belia lebih mencintai negara dan dapat memberikan komitmen yang tinggi bagi sama-sama memupuk semangat patriotik dalam negara.
“Di peringkat komuniti madani kita sendiri juga ada kumpulan belia yang turut sama menjayakan program ini,” katanya.
Katanya, konvoi KMJG itu lebih meriah dengan kerjasama daripada 135 komuniti madani yang terus komited dalam menjayakan kibaran jalur gemilang serta menyemarakkan lagi inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
IMedikel TV