KUALA LUMPUR: Band rock, Pop Shuvit menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI) bagi memilih tajuk sesuai untuk album baharu yang akan dilancarkan di semua platform penstriman pada 6 September depan.
Pemain dram Pop Shuvit, Rudy berkata, dengan bantuan AI akhirnya mereka memilih judul Phantom Frequencies untuk album yang mengandungi lapan lagu.
Rudy berkata, mereka sepakat memanfaatkan teknologi bagi menambah baik karya disebabkan sudah lama tidak muncul dengan album atau single baharu.
“Kami sudah lama tidak keluar dengan album baharu, jadi untuk dapatkan tajuk lebih menarik, kami gunakan teknologi AI untuk membantu.
“Banyak juga senarai keluar dan tajuk album digunakan sekarang, kami rasa relevan. Selepas semua lagu siap, kami lihat tajuk yang sesuai untuk digunakan.
“Saya rasa AI membantu untuk memberikan idea,” katanya pada sidang media dan sesi pradengar album baharu Phantom Frequencies di ibu negara, baru-baru ini.
Sementara itu, DJ Uno menyifatkan langkah itu membuktikan Pop Shuvit sentiasa bergerak mengikut peredaran masa dan perkembangan teknologi masa kini.
“Kami sebagai satu kumpulan sentiasa ikut arus teknologi. Dari dulu kami sentiasa manfaatkan teknologi untuk jadikan karya lebih efisien dan kreatif.
“Kami gunakan AI untuk memperbaiki karya, tapi idea datang daripada kami semua,” katanya.
Selepas 13 tahun berehat, Pop Shuvit kembali dengan memperkenalkan album Phantom Frequencies yang menghimpunkan lapan lagu, sekali gus mengukuhkan jenama kumpulan sebagai perintis industri muzik rock di Malaysia.
Phantom Frequencies yang juga album kelapan Pop Shuvit mendapat sentuhan pemuzik handalan seperti Noh Salleh daripada kumpulan Hujan, Emmett (Butterfingers), Ray Toro (My Chemical Romance), Wing Meng (Love Me Butch), Dandee dari Thailand dan mendiang Jamir Gracia dari Filipina.
Lapan lagu dimuatkan dalam album Phantom Frequencies adalah Melaju, Awas, Marabahaya Underground, Gila Kuasa, Believer, Space Between Us, Over You dan Berbisik.-BH Online –
Imedikel TV