KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) menafikan spekulasi mengenai rancangan parti itu dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk bertanding sendiri pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata kedua-dua parti itu kekal setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bekerjasama sebagai sebuah gabungan untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.
Katanya, dakwaan kononnya PBS dan STAR bakal bertanding sendiri pada PRN17 adalah usaha terdesak pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab bagi memecah-belah GRS berikutan peningkatan sokongan terhadap parti tempatan untuk terus mengetuai kerajaan.
“PBS dan STAR kekal komited terhadap gabungan tempatan GRS, bekerja bersama sebagai sebuah kesatuan hadapan dalam pertarungan pilihan raya yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Kenyataan itu menyusul berikutan satu video tular memaparkan keratan berita yang sudah disunting yang antara lain mendakwa kononnya PBS dan STAR merancang untuk bertanding secara solo.
Ketika ini, PBS dan STAR adalah antara parti yang menganggotai GRS bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS, berkata ada pihak tidak bertanggungjawab menyunting tajuk berita seperti dipaparkan dalam video berkenaan atas usaha terdesak untuk membuat naratif palsu.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai langkah strategik parti lawan dengan motif tersembunyi bagi menimbulkan perselisihan dalam kalangan parti komponen GRS.
“Secara terbuka, pihak tertentu sejak akhir-akhir ini kian melampaui batas untuk menyebarkan perkara tidak benar, dakwaan tidak berasas, dan dakwaan terhadap GRS serta kerajaan pimpinan GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS sentiasa mengadakan perjumpaan dengan pemimpin parti komponen GRS yang menjadi bukti hubungan mesra di antara mereka.
Beliau juga berkata, sudah menjadi perkara biasa apabila parti menyuarakan minat mereka untuk bertanding sebanyak mungkin kerusi yang pada akhirnya adalah perkara yang perlu dibincang dan diputuskan apabila tiba masanya.
“Perlu juga diambil perhatian bahawa memastikan kemenangan besar GRS adalah objektif utama memorandum persefahaman yang dimeterai PBS dan STAR sebelum ini.
“Tumpuan kita adalah untuk penyampaian tadbir urus yang baik dan pembangunan untuk rakyat Sabah. Kita tidak akan terganggu dengan dakwaan seperti ini,” katanya.
PBS dan STAR sebelum ini menjalin kerjasama yang antara lain untuk mengukuhkan hubungan politik kedua-dua parti, namun menegaskan ia bukan ancaman kepada parti lain dalam GRS.
Sehubungan itu, Joniston meminta penyokong GRS dan orang ramai agar tidak mengendahkan maklumat yang salah, sebaliknya terus menyokong GRS yang berusaha menegakkan kepentingan dan aspirasi rakyat Sabah. – BH Online –
Imedikel TV