KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tetap berbangga dengan pencapaian keseluruhan mereka biarpun tidak berjaya memenangi sebarang pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Pasangan ranking ke-13 dunia itu terlepas peluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang gangsa selepas tunduk di tangan gandingan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-11, 21-11 pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, hari ini.
Bagi Pearly, mereka sendiri tidak menjangka dapat beraksi hingga hari terakhir saingan beregu wanita di Paris.
“Sudah tentu kami sangat kecewa, kami memang mahukan gangsa. Namun, dalam perlawanan hari ini kami tidak dapat melakukan apa-apa, mereka (Matsuyama-Shida) beri tekanan yang hebat kepada kami
“Kami cuba tukar strategi permainan untuk dapatkan mata daripada mereka tetapi ia sangat sukar untuk kami. Mereka melakukan persiapan dan bermain dengan baik.
“Apa pun, kami tetap berbangga dengan pencapaian kami di sini. Sebelum temasya ini, kami bergelut dengan prestasi tidak menentu dan tidak sangka kami boleh bermain hingga hari terakhir (saingan beregu wanita),” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Thinaah berkata pencapaian mereka pada Olimpik kali ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada pemain muda negara.
“Kami harap ia dapat beri inspirasi kepada pemain muda yang mana tiada apa yang mustahil. Kami sudah buktikannya.
“Ramai orang tidak percaya dengan kemampuan kami sejak dari awal tetapi apabila kami sudah sampai ke tahap ini, kami juga harus beri pujian kepada diri kami sendiri.
“Kami akan ambil yang positif dan tidak akan berputus asa,” katanya.
Pearly-Thinaah mencipta kisah dongeng mereka di Paris apabila membuktikan tiada apa yang mustahil dilakukan selepas berjaya melepasi halangan ‘kumpulan maut’.
Dirumuskan berdepan misi mustahil di Paris, mereka menterbalikkan ramalan awal itu dengan kejayaan mara ke suku akhir.
Pearly-Thinaah tewas di tangan beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam aksi pembukaan Kumpulan A.
Namun, mereka kembali bangkit mencatat kemenangan dalam dua baki perlawanan kumpulan dengan menumbangkan bekas juara dunia dan beregu keenam dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.
Mereka kemudiannya menumbangkan gandingan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong untuk melangkah ke separuh akhir dan sekali lagi menempah pertemuan dengan Qing Chen-Yi Fan sebelum terpaksa akur tewas dalam tiga set.
Pearly-Thinaah muncul beregu wanita pertama Malaysia melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik.-BH Online –
Imedikel TV