AARON-WOOI YIK RAIH PINGAT GANGSA SUKAN OLIMPIK 2024

AARON-WOOI YIK RAIH PINGAT GANGSA SUKAN OLIMPIK 2024

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Tokyo apabila merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 sekali gus menghadiahkan pingat pertama negara pada edisi kali ini.

Kejayaan itu dilakar gandingan negara selepas menewaskan beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik melebarkan rekod kepada lapan kemenangan ke atas gandingan Denmark itu dalam 12 pertemuan secara keseluruhan.

Set pertama menyaksikan pasangan Denmark itu mendahului 11-8 dan selepas interval, pasangan negara cuba mengejar dan berjaya mengejar sehingga 16-18 sebelum Astrup-Rasmussen menoktahkan set pertama dengan keputusan 21-16 dalam tempoh 21 minit.

Set kedua berlangsung rancak dengan kedua-dua pasangan saling bertukar mata dan pasangan negara akhirnya mendahului 11-9 menuju ke interval namun Astrup-Rasmussen berjaya menghambat pasangan negara untuk menyamakan kedudukan kepada 13-13.

Situasi itu tampaknya memberi tekanan kepada Aaron-Wooi Yik dan Astrup-Rasmussen berjaya mendahului 18-15 sebelum pasangan negara yang ketinggalan 16-20 memperagakan kebangkitan menakjubkan untuk memenangi set kedua dengan 22-20.

Set ketiga berlangsung dengan sengit khususnya di penghujung permainan apabila pasangan negara membenarkan gandingan Denmark itu mengejar sehingga 19-19 namun Aaron-Wooi Yik kekal tenang untuk meraih pingat gangsa dengan keputusan 21-19.

Terdahulu, kedua-dua gandingan itu gagal melayakkan diri ke final selepas kecundang di tangan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir di mana Aaron-Wooi Yik tumbang di tangan gandingan nombor satu dunia, Liang Weikeng-Wang Chang 19-21, 21-15, 17-21.

Astrup-Rasmussen pula tewas di tangan juara bertahan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin 21-18, 17-21, 10-21.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik memenangi pingat gangsa di Tokyo 2020 selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14. -BH Online –

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *