KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia jelas sebak sehingga mengalirkan air mata selepas mengenangkan pelbagai cabaran yang dilaluinya olehnya sebelum berjaya memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik, sebentar tadi.
Pemain nombor tujuh dunia itu bangkit daripada tewas set pertama 13-21 sebelum meraih kemenangan 21-16, 21-11 ke atas pemain India, Lakshya Sen untuk pingat kedua negara di Paris setakat ini.
Ini menyaksikan Zii Jia memperbaiki pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo di mana dia berjaya mara sehingga ke pusingan 16 sebelum tewas di tangan pemenang pingat perak dari China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21.
Menerusi temuramah bersama stesen televisyen swasta Astro Arena, Zii Jia kelihatan sebak terutamanya selepas berdepan pelbagai kritikan namun perkara itu sama sekali tidak memadamkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik di Paris.
“Banyak perkara yang berlaku sejak saya menjadi profesional dan saya rasa, sekali pun saya tidak menangis walaupun saya pernah fikir untuk berputus asa daripada badminton. Saya pun tidak pasti layak ke Sukan Olimpik ataupun tidak dan ranking saya pun jatuh.
“Ini satu detik yang buruk dalam karier saya. Tetapi sekarang saya di sini, di Sukan Olimpik, sampai ke separuh akhir dan memenangi pingat gangsa. Saya sangat bangga dengan diri saya sendiri walaupun ini hanya pingat gangsa.
“Walaupun berdepan pelbagai kritikan, saya hanya mendiamkan diri dan saya mahu buktikan walaupun ini hanyalah pingat gangsa.
“Ini adalah satu permulaan untuk saya bangkit dengan lebih kuat bagi mendapatkan pingat emas di Los Angeles 2028,” katanya.-BH Online –
Imedikel TV