Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: “Saya tidak sangka, mimpi saya tiga hari lepas tentang Mariam Afeeya dibawa turun ke liang lahad bertukar menjadi kenyataan,” kata Hasliza Harun, 44.
Hasliza adalah nenek saudara yang juga pengasuh Mariam Afeeya Abdul Hakim, 16 bulan, yang meninggal dunia selepas motosikal roda tiga ditunggang bapa sepupunya berusia 12 tahun terjatuh ke dalam tali air, di Kampung Tok Belian, Tawang, di sini, petang kelmarin.
“Masih terngiang-ngiang telatah Mariam Afeeya sehari sebelum kejadian, dia merenung saya terlalu lama kemudian menangis dalam pelukan saya.
“Mariam Afeeya seorang bayi yang senang untuk dijaga, tetapi sejak akhir-akhir ini dia berubah menjadi seorang yang sangat manja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Sembilan, Tawang, di sini, hari ini.
Hasliza berkata, dia sudah menjaga Mariam Afeeya sejak usianya tiga bulan dan sangat terkesan akan pemergiannya.
“Bagaimanapun, saya berasa khilaf di atas yang terjadi, tetapi siapa yang dapat menghalang ketentuan daripada Yang Maha Esa,” katanya.
Jelasnya, anak bongsunya yang juga penunggang motosikal roda tiga itu memberitahu motosikal hilang kawalan menyebabkan kesemua mereka terjatuh ke dalam sungai.
“Anak saya juga masih dalam keadaan trauma,” katanya.
Media semalam melaporkan, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin mangsa, Mariam Afeeya ditemui di dasar sungai oleh Pasukan Bomba Balai Bomba Bachok pada kedalaman empat meter dari lokasi kejadian pada jam 8.10 malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, siasatan mendapati, kejadian berlaku apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun membawa lima lagi kanak-kanak menaiki sebuah motosikal roda tiga jenis Suzuki RC110S menghala ke rumah melalui jambatan Kampung Tok Belian.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Imedikel TV