Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berjaya menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri dengan mengalahkan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Berdasarkan keputusan rasmi semalam, Mohd Azmawi Fikri memenangi kerusi DUN Nenggiri selepas mendapat 9,112 undi berbanding calon PAS Mohd Rizwadi Ismail yang memperoleh 5,741 undi.
Majoriti besar dimenangi BN mewakili Kerajaan Perpaduan ialah sebanyak 3,372 undi, yang membolehkan BN menawan kembali DUN Nenggiri yang sebelum ini di bawah BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
Keputusan itu berlaku setelah semua 20 pusat daerah mengundi (PDM) Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri dikira malam tadi.
Daripada jumlah tersebut, 17 PDM didominasi BN menerusi Mohd Azmawi Fikri, manakala tiga PDM dimenangi PAS.
PRK DUN Nenggiri melibatkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan calon PN.
Sementara itu, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya menghargai pengundi di N.43 DUN Nenggiri yang telah memberikan kepercayaan semula buat BN untuk kembali berkhidmat kepada rakyat.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Pengarah Operasi Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub
dan seluruh jentera BN serta semua jentera parti di bawah Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus-lumus membantu di Nenggiri bagi memastikan kemenangan calon kita, Awie,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pengerusi BN Kelantan, Ahmad Jazlan juga turut bersyukur kerana BN mencipta sejarah dengan dengan kemenangan Mohd Azmawi Fikri.
“Ini merupakan kemenangan pertama setelah tujuh PRK, BN berjaya merampas kerusi daripada pihak lawan.
“Selaku Pengarah Operasi PRK N.43 DUN Nenggiri, saya mengucapkan selamat berkhidmat kepada Awie dan ini adalah permulaan gelombang baharu buat anak muda setelah diberikan kepercayaan oleh rakyat Nenggiri,” katanya dalam kenyataan, semalam.
IMedikel TV