Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Kira-kira 348 pelajar mengikut zon dari 87 buah sekolah keseluruhannya di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Unit Pembangunan Bakat Murid menyertai Program Cabaran Interaktif Pengguna – Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024 di Taman Tema Air, di sini, pada Ahad.
Objektif pelaksanaan itu bagi mendidik, menyebar luas dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan di kalangan pelajar melalui pendekatan baharu yang bersepadu merangkumi pengurusan kewangan berhemat, pemakanan sihat dan pemeliharaan alam sekitar.
Dalam pada itu program tersebut juga dapat mengembangkan daya kreativiti, inovasi dan potensi diri pelajar khususnya dalam aspek berkaitan kepenggunaan serta mengukuhkan jaringan kerjasama antara komuniti Kelab Pengguna Sekolah di seluruh Kelantan.
Program dipertandingkan berbentuk cabaran interaktif atau explorace yang menguji kecekapan, pengetahuan dan amalan kepenggunaan diterapkan Pengguna Bijak, Pengurusan Kewangan Berhemat, Pemakanan Sihat, Pemeliharaan Alam Sekitar dan kerjasama berpasukan.
Program itu adalaha usaha sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melalui Seksyen Pendayaupayaan Pengguna dengan kerjasama bersama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Kelab Pengguna Sekolah.
Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan disempurnakan oleh Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.
Pada pertandingan itu, pasukan dari Sekolah Menengah Sains Machang dinobatkan sebagai juara keseluruhan meraih wang tunai RM1,000.00, piala dan sijil penyertaan.
Naib johan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Samad dengan hadiah wang tunai RM700.00, piala serta sijil penyertaan.
Manakala tempat ketiga beroleh kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah dengan membawa pulang wang tunai RM500.00, piala dan sijil penyertaan.
Dalam pada itu juga lain-lain sekolah lagi mendapat hadiah saguhati berserta sijil penyertaan.
Hadir sama Ketua Seksyen Pendayaupayaan Pengguna, Suhaida Suhaimi, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, KPDN Kelantan Aswadi Jaafar, Ketua Cawangan Kuala Krai, Ahmad Azizi Abdul Kadir serta guru pengiring. – KPDN –
IMedikel TV