MILAN: Dusan Vlahovic meledak dua gol ketika membantu Juventus menang dua perlawanan pertama musim Serie A dengan kemenangan 3-0 di Verona awal pagi tadi.
Anak buah Thiago Motta, yang memulakan kempen dengan mengatasi Como 3-0, satu-satunya pasukan dengan rekod 100 peratus selepas dua perlawanan sekali gus menghuni tangga teratas.
Juventus berharap untuk mencabar kejuaraan Scudetto pertama mereka sejak 2019-20.
Motta mengambil alih sebagai ketua jurulatih berikutan pemecatan Massimiliano Allegri susulan mulut celuparnya selepas menang final Piala Itali Mei lalu.
Juve merudum musim lalu untuk berakhir di tangga ketiga Serie A, sekalipun ia penamat terbaik mereka dalam tempoh empat tahun.
Vlahovic memberikan The Old Lady gol pendahuluan di Verona sejurus sebelum setengah jam.
Nicolo Savona, pemain pertahanan berusia 21 tahun yang membuat penampilan sulung penuh buat kelab itu, menanduk masuk gol kedua Juve sebelum rehat susulan hantaran lintang Samuel Mbangula.
Vlahovic kemudian memastikan tiga mata dengan menyempurnakan sepakan penalti lapan minit babak kedua bersambung.
Juventus dijangka berdepan ujian terbesar mereka dalam minggu awal kempen apabila mereka melayan kunjungan AS Roma Ahad ini. – AFP, BH Online –
IMedikel TV