ATLET PENDIDIKAN KHAS PECAH REKOD ACARA LOMPAT TINGGI

ATLET PENDIDIKAN KHAS PECAH REKOD ACARA LOMPAT TINGGI

PASIR GUDANG: Atlet pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai memecah rekod apabila meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi pada 14 dan 15 Ogos lalu.

Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kota Masai, Jamilah Ali berkata Braein Sakai Anak Semari menghasilkan jarak 1.55meter (m) dalam acara lompat tinggi berbanding rekod sebelumnya 1.40m sekaligus dinobatkan sebagai juara lompat tinggi kategori 19 tahun.

“Kecemerlangan sukan pendidikan khas menjadi bukti murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dalam mengetengahkan potensi mereka untuk bersaing pada peringkat yang lebih tinggi.

“Kesungguhan yang dipamerkan oleh semua atlet dan guru sangat luar biasa dan pastinya setiap kejayaan yang diraih adalah hasil keras bersama,” katanya.

Jamilah berkata, kejayaan tersebut menjadi pemangkin bagi mereka supaya terus berusaha dalam pelbagai bidang berkaitan MBPK.

Jelasnya, Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas (KOPK) merupakan platform bagi mereka dalam mengembangkan bakat dan potensi olahraga serta mengimbangi peluang pendidikan menerusi aspek keutuhan mental dan fizikal.

“Sepanjang kejohanan, SMK Kota Masai berjaya meraih 13 emas, sembilan perak, 10 gangsa bagi kesemua acara yang disertai,” katanya.

Seorang peserta, Danial Almoftif meraih pingat emas dengan tujuh lompatan akhir pada ketinggian 1.45m.

Manakala tiga lagi peserta, Hairul Fazley, Irfan dan Wan Nur Syahirah turut meraih pingat emas dalam acara lompat jauh lelaki dan perempuan kategori 19 tahun.

Turut menjadi kebanggaan apabila Hairul Fazley terpilih sebagai peserta lelaki terbaik apabila berjaya meraih empat emas dan satu perak sepanjang kejohanan.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *