WASHINGTON: Seorang pesakit di timur laut New Hampshire, Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia selepas dijangkiti virus Eastern Equine Encephalitis (EEE) bawaan nyamuk yang jarang berlaku, lapor pihak berkuasa kesihatan pada Selasa.
Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (DHHS) New Hampshire dalam satu kenyataan berkata, pesakit yang hanya dikenal pasti sebagai orang dewasa dari bandar Hampstead, dimasukkan ke hospital dengan penyakit sistem saraf pusat yang teruk dan kemudiannya meninggal dunia.
“Jangkitan terakhir virus EEE membabitkan manusia dilaporkan di New Hampshire adalah pada 2014.
“DHHS mengenal pasti tiga jangkitan manusia, termasuk dua kematian,” kata jabatan itu.
Jangkitan dan kematian baharu itu berlaku di tengah kebimbangan daripada pegawai negeri di seluruh New England berhubung peningkatan risiko EEE iaitu ancaman yang dipercayai diburukkan lagi oleh perubahan iklim.
Awal bulan ini, Massachusetts mengumumkan kes manusia pertama EEE di negeri itu membabitkan seorang lelaki berusia 80-an.
Berikutan itu, pegawai kesihatan meminta orang ramai untuk mematuhi perintah berkurung di luar secara sukarela, menutup taman awam, dan memulakan semburan udara dan tanah untuk mengawal populasi nyamuk.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, gejala EEE termasuk demam, sakit kepala, muntah, cirit-birit, sawan, perubahan tingkah laku dan mengantuk.
Ia juga boleh menyebabkan penyakit neurologi yang teruk, seperti keradangan otak dan membran di sekitar saraf tunjang, yang dikenali sebagai ensefalitis (radang otak), serta meningitis.
Kira-kira 30 peratus daripada mereka yang dijangkiti meninggal dunia dan ramai yang terselamat mengalami kesan fizikal atau mental berterusan.
Individu di bawah umur 15 tahun dan lebih 50 tahun dianggap berisiko lebih tinggi dan buat masa ini, tiada vaksin atau rawatan tersedia. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV