ENDARASHA: Seramai 17 murid maut di sebuah sekolah rendah di daerah Nyeri, Kenya selepas bangunan asrama itu terbakar, Khamis lalu.
Timbalan Presiden Kenya, Rigathi Gachagua, berkata sehingga kini pihak berkuasa masih mengesan seramai 70 lagi murid Akademi Hillside Endarasha yang masih belum ditemui.
“Masih terdapat 70 kanak-kanak yang tidak ditemui, tetapi tidak bermakna mereka mati atau cedera, tetapi mungkin sudah diambil oleh saudara-mara atau mendapat perlindungan dalam masyarakat.
“Tragedi ini suatu yang ‘mengerikan’ dan penyiasatan teliti menggunakan DNA akan diperlukan untuk membantu mengenal pasti mangsa,” katanya.
Susulan itu, Presiden, William Ruto mengisytiharkan tiga hari berkabung negara bermula hari Isnin selepas apa yang disifatkannya sebagai ‘tragedi yang tidak dapat diduga’.
Beliau berkata, 17 kanak-kanak berusia antara sembilan dan 13 tahun maut manakala 14 lagi cedera dan dirawat di hospital.
“Saya berikrar akan menjawab sepenuhnya tanpa berselindung, terus terang dan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Semua orang dan badan yang berkaitan akan dipertanggungjawabkan bagi memastikan seboleh-bolehnya tragedi ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Kebakaran itu dilaporkan terjadi pada waktu tengah malam Khamis lalu di mana lebih 150 budak lelaki sedang tidur.
Ekoran itu, ramai ibu bapa berkumpul di sekolah itu bagi menantikan berita kehilangan berkenaan.
Menurut jurucakap polis negara, Resila Onyango, mayat yang ditemui di tempat kejadian rentung sehingga tidak dapat dikenali.
Punca kejadian belum dikenal pasti, bagaimanapun Suruhanjaya Jantina dan Kesaksamaan Kebangsaan Kenya dalam laporan awal berkata, asrama itu ‘sesak, melanggar piawaian keselamatan’ dan meminta siasatan segera.
Bangunan yang musnah itu ditutup dengan pita polis dan pegawai ditempatkan di semua pintu masuk.
Sekolah yang menampung kira-kira 800 kanak-kanak, terletak di kawasan separa luar bandar sekitar 170 kilometer di utara ibu negara Nairobi.
Terdapat banyak kebakaran sekolah di Kenya dan di seluruh Afrika Timur antaranya pada 2016, sembilan pelajar maut akibat kebakaran di sekolah menengah perempuan di kawasan setinggan Kibera di Nairobi.
Pada tahun 2001, 67 murid terbunuh dalam serangan pembakaran di asrama di sebuah sekolah menengah daerah Machakos selatan Kenya.
Pada tahun 1994, 40 kanak-kanak sekolah dibakar hidup-hidup dan 47 cedera dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah sekolah perempuan di wilayah Kilimanjaro, Tanzania.
Pada tahun 2022, kebakaran telah memusnahkan sebuah sekolah orang buta di timur Uganda dengan 11 murid maut selepas mereka terperangkap di dalam bilik tidur. – AFP, BH Online –
IMedikel TV