NEW YORK: Aryna Sabalenka berkata dia berasa “sangat bangga” menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) seterusnya merangkul mahkota Grand Slam ketiganya dengan perlawanan penuh mendebarkan mengatasi Jessica Pegula.
Pemain nombor dua dunia, Aryna menang 7-5, 7-5 untuk menambah gelaran juara di New York dalam senarai kariernya selepas kemenangan berturut-turut di Terbuka Australia.
Jessica bangkit berjuang sehingga ke mata terakhir biarpun satu ketika ketinggalan 0-3 dan berjaya menguasai mata break untuk mendahului 5-3 di set kedua namun Aryna akhir berjaya mengatasi situasi genting itu untuk bergelar juara.
Pemain berusia 26 tahun dari Belarus itu meraih 40 mata kemenangan untuk menjadi wanita pertama sejak Angelique Kerber pada 2016 yang memenangi kedua-dua gelaran gelanggang keras dalam musim yang sama.
“Saya ingat semua kekalahan sukar di masa lalu di sini dan ia mungkin kedengaran mudah tetapi jangan pernah berputus asa dengan impian anda dan teruskan mencuba, teruskan bekerja keras.
“Saya buntu sekarang. Banyak kali saya fikir saya begitu hampir untuk merangkul gelaran Terbuka AS. Ia sentiasa menjadi impian saya dan akhirnya saya mendapat trofi yang indah ini.
“Saya sangat bangga dengan diri saya sendiri. Saya sangat bangga dengan pasukan saya juga,” kata Aryna yang menjadi naib juara tahun lalu dan semi-finalis pada 2022 dan 2023.
Jessica tiba di New York dengan gelaran di Toronto dan tempat naib juara selepas tewas kepada Aryna di Cincinnati. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV