KPDN KELANTAN TAHAN LELAKI CUBA SELUDUP MINYAK MASAK, GULA

KPDN KELANTAN TAHAN LELAKI CUBA SELUDUP MINYAK MASAK, GULA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Seorang lelaki tempatan berusia 30an ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Pasir Puteh, Cabang Empat, di sini, selepas disyaki cuba menyeludup keluar 374 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM935 dan 264kg gula pasir kasar bernilai RM910.80, pada Sabtu.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, operasi itu melibatkan beberapa pasukan Penguat Kuasa KPDN Kelantan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, serta Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Hasil serbuan itu, pihak berkuasa juga merampas sebuah kereta Perodua Kancil bernombor pendaftaran tempatan yang dianggarkan bernilai RM 5,000.00, serta sejumlah barang kawalan bersubsidi.

Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan sebanyak RM6,845.80 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

KPDN menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang memberi kesan negatif kepada negara.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *