PERHILITAN TANGKAP GAJAH, BERUANG MATAHARI DI KUALA KRAI

PERHILITAN TANGKAP GAJAH, BERUANG MATAHARI DI KUALA KRAI

Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV

KUALA KRAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah liar dan seekor beruang matahari di Kuala Krai, kelmarin.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya berjaya menangkap gajah liar jantan itu di daerah Kuala Krai iaitu Kampung Gua Ikan manakala beruang matahari pula ditangkap di Kampung Sungai Pas.

“Tangkapan  gajah liar berkenaan dijalankan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan pada pukul 11 pagi semalam (Jumaat) selepas menerima aduan daripada penduduk.

“Beruang matahari ini berjaya ditangkap pada pukul 5.30 petang apabila memasuki perangkap yang dipasang oleh pihak kami di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata tangkapan terhadap gajah liar itu adalah susulan pihaknya menerima aduan berulang melibatkan enam gajah liar berkeliaran di kawasan terbabit.

Beliau menjelaskan pihaknya menjalankan pemantauan berterusan di lokasi tangkapan sehingga operasi pemindahan gajah itu selesai.

“Tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan kampung berkenaan berhampiran kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa yang menjadi habitat asal gajah liar,” katanya.

Tambahnya beruang matahari yang ditangkap dipercayai dari hutan simpan berdekatan iaitu HSK Kampung Sungai Rek yang terletak lima kilometer daripada lokasi tangkapan dilakukan.

“Operasi pemindahan beruang matahari ini dijalankan pada hari yang sama dan haiwan liar itu akan dilepaskan ke Taman Negara Terengganu.

“Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri,” katanya.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *