KANAK-KANAK DI GAZA MAHU KEMBALI BERSEKOLAH

KANAK-KANAK DI GAZA MAHU KEMBALI BERSEKOLAH

GAZA: Rama Abu Seif, 12, ingin kembali ke bilik darjah untuk belajar tetapi sekolah kini menjadi penempatan untuk keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat perang.

Buku-bukunya dibakar untuk menyalakan api dalam ketuhar tanah liat. Beg sekolahnya diisi dengan pakaian sekiranya dia perlu segera melarikan diri daripada serangan Israel.

“Yang sebaya dengan saya atau lebih muda dari saya, tentu semuanya mahu pulang ke utara (Gaza) dan kembali persekolahan, belajar dan bermain di sekolah, tetapi semua itu sudah tiada…,” katanya.

Tidak ada prospek untuk Rama dan ramai kanak-kanak lain untuk kembali ke sekolah dalam masa terdekat di Semenanjung Gaza, dan masa mereka dibazirkan oleh pengeboman Israel.

Sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, sekolah dibom atau dijadikan tempat perlindungan bagi orang yang kehilangan tempat tinggal, menyebabkan dianggarkan 625,000 kanak-kanak sekolah di Gaza tidak dapat menghadiri kelas.

Sepatutnya pada usianya sekarang, dia bermain sukan dan permainan di taman permainan sekolah, sebaliknya Rama beratur panjang untuk mendapatkan giliran mengumpul air bagi kegunaan – air agihan itu selalunya kotor dan tidak boleh diminum.

Serangan Israel ke atas kawasan yang ditadbir Hamas membunuh lebih 40,600 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan tempatan.

Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, mencetuskan krisis kelaparan dan kesihatan di enklaf itu.

Rama dan rakan-rakan sekelasnya hanya dapat mengingati hari-hari yang lebih baik di Gaza, antara kawasan paling padat penduduk di dunia.

Gaza dan Tebing Barat yang diduduki mempunyai tahap celik huruf yang tinggi di peringkat antarabangsa, dan sistem pendidikan yang kekurangan sumber daripada segenap sudut itu adalah harapan serta kebanggaan rakyat Palestin.

Sejak perang meletus, penduduk Gaza melarikan diri ke utara, selatan dan bahagian lain di wilayah itu.

Pada awal Ogos, Israel melakukan serangan udara ke atas perkarangan sebuah sekolah Bandar Gaza yang menempatkan kira-kira 100 orang iaitu membabitkan keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

“Pada masa lalu kami akan membuka beg sekolah dan mencari buku di dalamnya, jadi kami akan mengambil buku itu dan belajar.

“Tetapi sekarang kami membuka beg itu dan mencari pakaian di dalamnya. Pakaian itu untuk kami bawa ke mana sahaja kami pergi, dari satu tempat ke satu tempat,” kata Rama. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *