KPWKM PANDANG SERIUS ISU LIBATKAN KANAK-KANAK

KPWKM PANDANG SERIUS ISU LIBATKAN KANAK-KANAK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandang serius isu yang melibatkan kanak-kanak terutama yang ditempatkan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh negara.

Menurut kenyataan media KPWKM, berdasarkan operasi pemutihan TASKA yang telah dilaksanakan mulai September 2023, JKM telah mengenal pasti sebanyak 1,080 TASKA di seluruh negara yang tidak berdaftar dan tindakan penguatkuasan telah dilaksanakan supaya pihak yang terlibat segera membuat pendaftaran.

Tindakan pemutihan tersebut dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak1984 [Akta 308].

Bagaimanapun terdapat pelbagai tindakan proaktif telah dilaksanakan dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada kes-kes seperti kecuaian, pengabaian dan penderaan.

KPWKM melalui JKM juga telah mengeluarkan Arahan Bertulis (76), Perintah Penutupan Sementara (4), Pembatalan Perakuan Pendaftaran (218), Tindakan LAK (7) , Kompoun (17) dan Pendakwaan (2) telah direkodkan sejak 2020.

Bagi memastikan TASKA Berdaftar sentiasa mematuhi akta dan peraturan yang ditetapkan, KPWKM melalui JKM juga melaksanakan pelabagai usaha antaranya pemantauan, pemeriksaan berkala dan pemeriksaan mengejut oleh Pegawai Yang Diberi Kuasa ke premis sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Selain itu, satu Garis Panduan Khas Tindakan Penguatkuasaan LAK dan Perintah Penutupan ke atas Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) serta Pusat Jagaan yang dalam siasatan polis juga telah dikeluarkan berkuat kuasa pada 10 April 2023.

Garis panduan ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil bagi kes-kes melibatkan TASKA dan Pusat Jagaan yang dalam siasatan polis kerana disyaki terdapat kes penderaan, pengabaian atau mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

Kementerian turut menyarankan kepada ibu-bapa dan penjaga supaya sentiasa cakna dalam memastikan anak-anak dihantar ke TASKA berdaftar di bawah JKM.

Ini kerana salah satu prasyarat yang diberikan bagi pendaftaran TASKA ialah pengasuh hendaklah ada sijil Krusus Asuhan Permata (KAP).

Senarai TASKA berdaftar boleh diperoleh melalui semakan di Laman Web www.jkm.gov.my. Orang ramai juga diseru untuk membuat aduan kepada Talian Kasih di talian 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999, atau menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran sekiranya mendapati terdapat TASKA yang tidak berdaftar.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *