TOKYO: Operasi sukar bagi mengeluarkan sisa radioaktif dari loji nuklear Fukushima yang terjejas di Jepun dimulakan hari ini, selepas cubaan awal terpaksa dihentikan berikutan masalah teknikal.
Tokyo Electric Power Company (TEPCO) dalam satu kenyataan berkata operasi percubaan sudah dimulakan dan ia akan mengambil masa kira-kira dua minggu.
Sampel kecil radioaktif itu akan dikaji untuk mendapatkan petunjuk mengenai keadaan di dalam reaktor iaitu satu langkah penting ke arah penutupan loji Fukushima Daiichi.
Sekitar 880 tan bahan yang sangat berbahaya masih ada selepas 13 tahun tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi berskala 9 mengakibatkan antara tragedi nuklear terburuk di dunia.
Mengeluarkan sisa nuklear dari reaktor dianggap sebagai cabaran paling besar dalam projek penutupan yang berlangsung selama beberapa dekad.
TEPCO pada asalnya merancang untuk memulakan percubaan pengeluaran pertama pada 22 Ogos lalu dengan tujuan mengumpul hanya tiga gram radioaktif bagi menjalankan analisis, sekiranya proses penyingkiran berjaya.
Namun, syarikat berkenaan terpaksa menghentikan kerja pada peringkat awal selepas mengesan masalah yang membabitkan pemasangan peralatan yang diperlukan.
Tiga daripada enam reaktor loji Fukushima sedang beroperasi apabila tsunami melanda pada 11 Mac 2011, menyebabkan reaktor itu mengalami kerosakan.
Sisa di dalamnya mempunyai tahap radiasi yang sangat tinggi sehingga TEPCO terpaksa membangunkan robot khas yang mampu berfungsi di dalamnya.
TEPCO menggunakan dua dron mini dan satu robot berbentuk ular ke dalam salah satu daripada tiga reaktor nuklear pada Februari, sebagai persediaan untuk tugas pengeluaran.
Dalam perkembangan lain, tahun lalu Jepun mula melepaskan air sisa yang dirawat dari loji Fukushima ke dalam Lautan Pasifik, mencetuskan pertikaian diplomatik dengan China dan Russia.
Kedua-dua negara melarang import makanan laut Jepun, walaupun Tokyo bertegas bahawa pelepasan itu adalah selamat, satu pandangan yang disokong oleh agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
TEPCO melancarkan inisiatif untuk mempromosikan makanan dari kawasan Fukushima dengan menjual buah peach yang ditanam di kawasan berkenaan di gedung membeli-belah Harrods di London.
Buah peach Fukushima terkenal kerana rasanya yang berjus dan manis tetapi harganya agak tinggi dengan satu kotak yang mengandungi tiga biji berharga 80 pound (RM456). – AFP, BH Online –
IMedikel TV