KLUANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota penting sebagai pembuka jalan bagi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terus bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, berkata oleh itu, kedua pihak perlu mengekalkan kerjasama untuk terus sama-sama memenangi pilihan raya dan mentadbir bersama.
Katanya, kerjasama demi perpaduan adalah kunci kejayaan PH-BN.
“Bagi mengekalkan kestabilan negara serta mencapai lonjakan ekonomi kedua Malaysia, di samping menjamin masa depan tanah air tercinta, Kerajaan Perpaduan perlu bertanding bersama pada PRU16.
“Malah, usaha perlu dimulakan awal bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu di semua kerusi pada PRU16.
“Johor adalah medan pilihan raya yang penting. Ia mempunyai 26 kerusi Parlimen, menjadikannya negeri di Semenanjung (Malaysia) yang paling banyak kerusi.
“Gabungan PH dan BN di Johor menguasai 24 daripada 26 kerusi ini. Ini adalah asas kekuatan kuasa politik Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, Kerajaan Perpaduan mentadbir bersama, menang dan kalah pilihan raya bersama, dan mahu bersama-sama membina negara demi generasi akan datang.
Katanya, setelah lebih 22 bulan, Kerajaan Perpaduan kekal teguh dan berjaya memerintah dengan baik.
“Pada PRU 2022, ketiga-tiga gabungan – PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) gagal mendapat majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan.
“Atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bersetuju untuk bekerjasama bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
IMedikel TV