ANYAMAN TIKAR KERCUT SEMAKIN DILUPAKAN

ANYAMAN TIKAR KERCUT SEMAKIN DILUPAKAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Anyaman tikar menggunakan pokok kercut semakin dilupakan memandangkan proses pembuatannya agak rumit selain memerlukan masa yang agak lama.

Menurut Ramlah Harun, 66, bagi menghasilkan sebidang tikar kercut, seseorang itu perlu mempunyai kesabaran yang tinggi.

“Anyaman sebidang tikar kercut biasanya memerlukan masa sekurang-kurangnya dua hari bergantung kepada saiz.

“Proses membuat tikar bermula selepas pokok kercut yang sudah dipotong, diikat dan disalut dengan tanah liat bagi membuang warna hijau aslinya sebelum ia dijemur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bachok, di sini, semalam.

Menurutnya, menjemur pokok kercut mengambil masa antara dua hingga tiga hari sekiranya cuaca elok bagi membolehkan ia kering dengan sebaiknya sebelum ditumbuk bagi meleperkan serat.

“Sebaik sahaja diwarnakan, pokok tersebut akan ditumbuk sekali lagi supaya lebih nipis bagi memudahkan proses ayaman dan kesemua proses itu memerlukan kesungguhan bagi menghasilkan anyaman yang berkualiti,” katanya.

Ujarnya, kebiasaan dia memproses tikar tersebut bersama tiga lagi rakannya, Zizah Awang, Halijah Samad dan Limah Harun.

Ramlah berkata, setiap hari mereka akan berbahagi tugas dan masing-masing mempunyai kepakaran dan kreativiti tersendiri dalam menghasilkan tikar kercut.

Sementara itu, Ketua Komuniti Kraf Bachok, Fazliyaton Daud berkata, beliau mengambil inisiatif membantu memasarkan produk yang dihasilkan Ramlah bersama rakannya agar pendapatan yang diperolehi lebih besar berbanding sebelum ini.

Katanya, kesemua penganyam merupakan warga emas dan pergerakan mereka agak terhad terutama dalam memasarkan produk yang dihasilkan itu.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *