Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Seorang peniaga air balang, resah memikirkan tentang nasib dua anaknya untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi kerana kesempitan wang.
Zulkifli Hassan, 50, dari Kampung Tanjung Rendang, Lemal, di sini, berkata apa yang lebih merisaukan tarikh pendaftaran bagi kedua anaknya, Mohammad Aliff Irhfan, 19, dan Nur Ain Ashiqin Sofea, 18, adalah pada 28 dan 29 September ini.
“Tempoh pendaftaran untuk kemasukan ke universiti untuk anak kedua dan ketiga adalah terlalu dekat. Saya agak buntu untuk mendapatkan wang bagi persiapan mereka berdua untuk daftar di universiti.
“Pendapatan yang kami perolehi selama ini pun tidak mencukupi untuk menyara kami sekeluarga. Ini pula dua anak sekali gus perlu mendaftar yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang banyak. Ini belum lagi mengambil kira keperluan laptop yang diperlukan mereka berdua,”katanya.
Zulkifli berpendapatan sekitar RM400 sebulan dengan berniaga air balang, manakala isterinya, Mazida Ishak, 50, cuba menambah pendapatan dengan membuat dan menjual karipap segera.
“Pendapatan saya tidak menentu. Apabila tiba musim hujan hasil jualan yang diperolehi kadang-kadang tiada langsung kerana ketiadaan pelanggan.
“Jadi, isteri saya banyak membantu juga untuk menambah pendapatan keluarga memandangkan anak yang bongsu masih bersekolah di tahun empat, manakala anak yang sulong berusia 20 tahun kini bekerja kilang di Johor,”katanya.
Mohammad Aliff Irhfan mendapat tawaran untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu) Dengan Kepujian di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Perak.
Manakala Nur Ain Ashiqin Sofea pula ditawarkan untuk mengikuti program Pra Diploma (Perdagangan)(MDAB) di salah sebuah IPTA di Kelantan.
Bertindak atas maklumat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) 3rd Force Pasir Mas mengambil inisitiaf untuk membantu Mohammad Aliff Irhfan dan Nur Ain Ashiqin Sofea dengan memberi sumbangan sebuah komputer riba dan sejumlah wang daripada sumbangan orang ramai.
IMedikel TV