SKUAD NEGARA LANGKAH KANAN DI KEJOHANAN BADMINTON REMAJA DUNIA

SKUAD NEGARA LANGKAH KANAN DI KEJOHANAN BADMINTON REMAJA DUNIA

KUALA LUMPUR: Malaysia seperti dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi dua halangan awal aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 di Nanchang, China, hari ini.

Selepas menewaskan Mongolia dengan keputusan 110-48 pada perlawanan pertama, pasukan yang dibimbing jurulatih Jeffer Rosobin itu kemudian meraih kemenangan kedua dengan mengalahkan Norway 110-51.

Sekalipun aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang itu tampak mudah, Rosobin mengakui dia tidak mahu barisan pemainnya terlalu memandang rendah pihak lawan dan fokus kepada aksi berikutnya.

“Setakat ini semuanya berjalan dengan baik dan pemain juga nampak sudah serasi dengan format baharu pertandingan,” kata Rosobin.

“Jadi saya harap mereka akan kekal fokus untuk perlawanan seterusnya.”

Selain Mongolia dan Norway, turut menghuni Kumpulan C bersama Malaysia adalah Belanda dan Estonia.Lawan Malaysia seterusnya, esok adalah Estonia sebelum aksi peringkat kumpulan dilengkapkan dengan perlawanan menentang Belanda pada Rabu.

Sebagai rekod, Kejohanan Remaja Dunia kali ini dimainkan dengan format baharu 10 perlawanan membabitkan dua pemain masing-masing dalam kategori perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Setiap perlawanan hanya akan bermain sehingga 11 mata dan pasukan pertama yang mencapai 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.

Kali terakhir pasukan remaja negara merangkul gelaran dunia adalah pada 2011 di Taiwan.

Imedikel Tv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *