Sungai Petani: Malaysia perlu bersedia untuk berdepan cabaran bagi memenuhi keperluan tenaga boleh baharu (TBB) berikutan permintaan yang semakin tinggi daripada pelabur asing terutama untuk mewujudkan pusat-pusat data di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata persediaan itu perlu dibuat secara rapi dan teliti supaya pelabur menjadikan negara ini sebagai pilihan utama mereka dalam sektor berkenaan.
“Begitu juga (permintaan) bekalan air untuk menyejukkan pusat data (yang semakin meningkat). Kalau kita tidak bersedia maka pelabur ini tidak akan datang.
“Sebagai contoh, buat masa ini permintaan TBB di Johor sahaja menjangkau kira-kira 8,000 megawatt. Sebab itu kita kena cari jalan bagaimana kita nak pastikan kita dapat membekalkan tenaga yang diperlukan oleh pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Jalinan Perpaduan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Siam dan ketua-ketua agensi di sini malam ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, keadaan itu turut memerlukan rakyat khususnya golongan pekerja meningkatkan ilmu dan kemahiran merea yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pelabur.
Katanya, pada masa ini bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang sesuai dengan keperluan industri.
“Inilah yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri. Sebab itu TVET diberi tumpuan untuk kita latih, sekarang ini di bawah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi tumpuan bagaimana kita nak pastikan TVET ini disebarluaskan,” katanya.
Bagaimanapun, Fadillah mengingatkan bahawa tanggungjawab memastikan rakyat dilengkapi dengan ilmu kemahiran baharu perlu digalas semua pihak supaya ia dapat direalisasikan. – HMetro –
IMedikel TV