PESARA NAFI PUKUL ADIK IPAR HINGGA PATAH TANGAN

PESARA NAFI PUKUL ADIK IPAR HINGGA PATAH TANGAN

Pesara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap adik iparnya dengan menggunakan tongkat besi, November tahun lalu.

Tertuduh, Hasnor Jaafar, 53, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas dibacakan dan diterangkan pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang wanita, Khairal Ba’iza Ibrahim, 47, dengan menghayun tongkat besi ke arah mangsa hingga menyebabkannya patah tangan kiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan rumah No 9 Jalan CP 1/32 A Taman Cheng Perdana, Tanjung Minyak pada 8 November 2022, kira-kira jam 5 petang.

Dia dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak menawarkan jaminan, namun memohon syarat tambahan ditetapkan jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara bagi memberikan jaminan.

Sementara itu, Peguam, Mohamed Musthafa memohon jaminan dibenarkan dan tertuduh dilepaskan dengan jaminan rendah.

Beliau berkata, anak guamnya adalah bekas pengurus sebuah syarikat automobil yang terpaksa bersara awal akibat penyakit kencing manis kronik hingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya hampir dipotong.

Tertuduh katanya kini bekerja sambilan sebagai jurujual kenderaan dengan pendapatan RM4,000 sebulan serta menanggung dua isteri dan tujuh anak masih bersekolah berusia 17 hingga empat tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan Hasnor dibebaskan dengan jaminan RM12,000 berserta seorang penjamin dan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dalam apa juga cara.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Mei depan bagi serahan dokumen.

Sumber: BH Online

– Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *