TOL PERCUMA SEMPENA SAMBUTAN DEEPAVALI

TOL PERCUMA SEMPENA SAMBUTAN DEEPAVALI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya selama dua hari bermula hari ini hingga esok.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tol percuma bermula pada jam 12.01 tengah malam ini dan berakhir pada jam 11.59 malam, esok, Rabu.

“Pengecualian tol hanya diberi kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya kos pemberian tol percuma dianggarkan sebanyak RM38 juta akan ditanggung kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat. 

“Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat disamping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon supaya semua pengguna jalan raya memandu dengan berhemah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan. Berehatlah jika keletihan dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,”katanya.

Beliau berharap semoga pengguna lebuh raya memanfaatkan peluang itu sebaiknya dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk melancarkan pergerakan.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *