66,042 ANGGOTA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT – KDN

66,042 ANGGOTA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT – KDN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Seramai 66,042 anggota daripada tiga agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersiap siaga dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), dijangka bermula awal bulan November ini.

KDN dalam kenyataan berkata jumlah tersebut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukeralewan (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Persediaan itu membabitkan 10,540 aset dan daripada jumlah tersebut PDRM akan mengatur gerak sejumlah 17,216 anggota sumber manusia beserta 9,936 aset pelbagai jenis. Manakala RELA pula bersedia dengan sejumlah 47,100 anggota beserta 457 aset dan diikuti dengan APMM seramai 1,726 anggota dan 147 aset bersedia untuk diatur gerak di seluruh negara. 

Fenomena MTL  biasanya akan membawa hujan lebat beserta angin kencang dan berisiko menyebabkan kejadian banjir serta banjir kilat di kawasan terbabit. 

Menurut kenyataan antara peranan yang akan dilaksanakan oleh anggota ketiga-tiga agensi terbabit termasuklah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di Pusat Pemindahan Sementara, penugasan di Pusat Pangkalan Bekalan Hadapan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dan penugasan pasca bencana banjir.

Selain itu, PDRM juga akan bertindak sebagai Komander Operasi Bencana seperti yang ditetapkan dalam Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara. 

KDN menasihatkan seluruh rakyat Malaysia yang berisiko terkesan akibat bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, sentiasa berwaspada dan bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara yang tidak diigini berlaku.

Kementerian juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsamangsa banjir.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir dengan menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03- 2266 3444 / 03-2266 3451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan.

Untuk laporan terkini dan sahih berkaitan bencana, orang ramai boleh layari www.portalbencana.nadma.gov.my. 

IMedikel TV


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *