Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Meskipun berstatus orang kurang upaya (OKU), kekurangan itu tidak menghalang semangat Azmi Tahar, 50 untuk menghasilkan keindahan seni karya hasil air tangannya.
Azmi yang mengalami kecederaan saraf tunjang sejak empat tahun lepas kini mengusahakan perniagaan seni arca flora atau ‘sculpture painting’ bagi meraih pendapatan untuk diri dan keluarganya.
“Saya dan isteri Shalily Sajad, 51, memang berjiwa seni dan kami pernah mengusahakan kraf tangan berunsurkan tempurung kelapa namun tidak bertahan lama kerana kekuatan kami tidak mampu untuk menghasilkannya.
“Tetapi, setelah itu, kami beralih kepada pembuatan arca flora kerana kaedahnya lebih santai memandangkan isteri saya juga mahir dan berkelulusan dalam bidang seni grafik,” katanya ketika ditemui pada Program Promosi Kraftangan Malaysia, di Kota Bharu, di sini, pada Khamis.
Azmi berkata, pekerjaan itu lebih sesuai bagi dirinya yang hanya bergantung pada kerusi roda sahaja.
Jelasnya, antara arca flora yang diukir adalah bunga mawar, tulip kemudian kemudian direka menjadi jam dinding, bingkai gambar, balang kuih serta tempat menggantung kunci.
“Pembuatannya menggunakan plaster khas sebelum diwarna dan dikeringkan dalam tempoh satu hingga dua hari.
“Penghasilan produk itu mengambil masa sekurang-kurangnya sehari dan paling lama boleh mencecah hingga lima hari bergantung corak serta saiz produk,” katanya yang menetap di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Sementara itu, menurut isterinya, Shalily, harga produk tersebut bermula serendah RM29 hingga RM500 dan pernah meraih pendapatan hingga RM10,000 sebulan.
IMedikel TV