KUALA LUMPUR: “Iya, anak guam saya sudah arahkan untuk ‘proceed’ (failkan rujuk dan perceraian),” katanya.
Demikian kenyataan peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili pelakon, Diana Danielle berhubung kenyataan anak guamnya yang mengumumkan di laman sosial, Instagram, semalam, dia mahu memfailkan perceraian terhadap suaminya, Farid Kamil.
Akberdin berkata, pihaknya akan memfailkan perceraian itu dalam waktu terdekat di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.
“Anak guam saya sudah bagi arahan untuk memfailkan dan saya sedang menyediakan proses rujuk dan cerai sekali. Kami akan failkan dalam bila-bila masa saja.
“Dia (Diana) memang sudah tekad dan sebenarnya sudah bagi arahan untuk bertindak. Semalam dia bagi arahan untuk ‘proceed’ terus,” katanya kepada BH Online.
Bertanya mengenai faktor Diana memfailkan perceraian kali kedua ini, Akberdin berkata, mereka akan berkongsi perkara itu pada waktu yang bersesuaian.
“Masa fail kami akan beritahu, sekarang agak sukar nak dijelaskan. Arahan nak failkan memang sudah ‘confirm’. Jadi, kami akan kongsikan yang lain kemudian,” katanya.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di mahkamah yang sama iaitu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu. Namun, mereka rujuk sebulan kemudian.
Semalam, Diana membuat kejutan mengumumkan perkembangan dia sudah memutuskan secara rasmi untuk berpisah dengan suami dan juga akan memfailkan cerai.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – BH Online –
IMedikel TV