PENGASAS SYARIKAT PEMILIK TIKTOK KINI INDIVIDU TERKAYA CHINA

PENGASAS SYARIKAT PEMILIK TIKTOK KINI INDIVIDU TERKAYA CHINA

SHANGHAI: Pengasas ByteDance, Zhang Yiming kini orang terkaya di China, dengan nilai kekayaan peribadi sebanyak AS$49.3 bilion (kira-kira RM235.4 bilion), menurut Senarai Individu Kaya Hurun 2024, lapor Reuters.

ByteDance adalah syarikat pemilik kepada TikTok.

Zhang, 41, yang meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif ByteDance pada 2021, menjadi individu ke-18 dinobatkan sebagai orang terkaya China dalam tempoh 26 tahun, sejak senarai itu pertama kali diterbitkan.

Beliau mengatasi usahawan air botol Zhong Shanshan, yang tergelincir ke tempat kedua apabila kekayaannya merosot 24 peratus kepada AS$47.9 bilion (kira-kira RM228.6 bilion).

Walaupun terdapat pertikaian undang-undang mengenai asetnya di Amerika Syarikat (AS), pendapatan global ByteDance meningkat 30 peratus tahun lepas kepada AS$110 bilion (kira-kira RM525.8 bilion), sekali gus membantu memacu kekayaan peribadi Zhang.

Individu ketiga terkaya dalam senarai itu ialah pengasas Tencent, Pony Ma.

Kedudukan Colin Huang yang juga pengasas PDD Holdings, turun ke tempat keempat daripada ketiga pada tahun lepas, walaupun platform e-dagang yang memfokuskan diskaun milik firmanya iaitu Pinduoduo dan Temu, terus menunjukkan pertumbuhan pendapatan yang sihat.

Menurut Reuters, bilangan bilionair dalam senarai tahunan itu menurun sebanyak 142 kepada 753, menyusut lebih satu pertiga daripada kemuncaknya pada 2021.

Senarai Individu Kaya Hurun adalah senarai tahunan yang menyenaraikan individu terkaya di China, memaparkan bilionair dan individu berpendapatan tinggi dalam pelbagai industri.

Ditubuhkan pada 1999, senarai ini disusun dan diterbitkan oleh Hurun Report, sebuah syarikat media swasta yang diasaskan oleh penyelidik British-Cina, Rupert Hoogewerf. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *