KUALA LUMPUR: Penyanyi, Azza Elite akan mengambil sikap lebih berhati-hati apabila mencari pekerja baharu selepas berdepan episod hitam dengan seorang bekas pekerjanya yang didakwa mencuri wang hasil jualan perniagaannya.
Azza berkata, sepanjang terbabit dalam dunia seni dia jarang ditipu, namun kali ini Tuhan menghantarkannya ujian supaya tidak mudah mempercayai orang tidak dikenali.
“Selama ini saya jarang kena tipu dari segi duit persembahan atau penggambaran drama sebab saya selalu berhati-hati.
“Tapi dalam pada berjaga-jaga, saya tidak terlepas dengan ujian ini. Saya percaya bukan hanya saya seorang saja pernah berdepan situasi sama, ramai lagi peniaga yang mengalami nasib seperti saya.
“Mungkin nilai yang dicuri dianggap kecil pada orang lain, tapi besar pada saya membuatkan saya perlu lebih berhati-hati selepas ini,” katanya
Azza ditemui pada majlis pelancaran Havoc Food Festival yang disertai 20 selebriti dan ditaja Perfume Paradise untuk jelajah di Sabah dalam sebuah acara di Shah Alam, baru-baru ini.
Menurut Azza, dia juga meluahkan rasa kecewa apabila laporan polis yang dibuat pada awal Oktober lalu serta pihak berkuasa meminta individu itu melangsaikan duit yang dicuri tidak diendahkan.
“Pihak berkuasa ada menasihatkan saya untuk memberi peluang kepada individu itu membayar semula.
“Saya sudah beri dia tempoh dua minggu untuk bertanggungjawab, namun belum ada sebarang bayaran diterima.
“Sebenarnya saya tidak mahu berkongsi foto dia tetapi atas nasihat kawan-kawan dalam usaha mendapatkan kerjasamanya membayar duit kami. Kalau dia tidak bayar juga saya terpaksa ambil tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, Azza meluahkan rasa kesal dengan tindakan bekas pekerjanya yang didakwa mencuri wang hasil jualan kek coklat yang diusahakan.
Katanya, pekerja itu menukar kod QR syarikat miliknya kepada akaun peribadinya selama tiga bulan tanpa disedari.
Dalam pada itu, Havoc Food Festival buat julung kalinya akan ke Sabah bersempena Havoc Tour Sabah 2024 mulai hari ini hingga 3 November di SICC Kota Kinabalu, Sabah.
Kemudian ia akan menjelajah ke Kompleks Sukan Sandakan pada 6 hingga 10 Nov ini. – Hmetro Online –
IMedikel TV