LAHORE: Pencemaran udara di bandar kedua terbesar Pakistan, Lahore, meningkat semalam dengan seorang pegawai menyatakan ia rekod tertinggi bagi bandar mega itu.
Selama beberapa hari ini, bandar dengan 14 juta penduduk itu diselubungi oleh jerebu yang bercampur dengan kabus dan bahan pencemar disebabkan oleh asap diesel gred rendah, asap pembakaran pertanian bermusim dan diburukkan dengan musim sejuk.
Menurut data IQAir, indeks kualiti udara melonjak kepada 1,067 – jauh melebihi paras 300 yang dianggap ‘berbahaya’.
“Kami tidak pernah mencapai tahap 1,000. Indeks kualiti udara akan kekal tinggi untuk tiga hingga empat hari akan datang,” kata pegawai kanan perlindungan alam sekitar, Jahangir Anwar di Lahore kepada AFP.
Paras bahan pencemar PM2.5 iaitu zarah halus di udara yang menyebabkan paling banyak kerosakan kepada kesihatan dan boleh membawa kemuncak pada kadar 610, iaitu lebih 40 kali ganda daripada had 15 dalam tempoh 24 jam yang dianggap sihat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
“Sebagai seorang ibu, saya sangat bimbang. Tahun lalu tidak seteruk ini, ia lebih baik. Seseorang perlu memberitahu kami apa yang sudah berlaku. Adakah bom pencemaran meletup di suatu tempat?” kata Lilly Mirza, 42 tahun kepada AFP.
Mirza berkata, dia berasa ‘sangat takut’ selepas membawa anaknya ke perlawanan sukan di salah satu kawasan pencemaran.
“Saya pulang ke rumah dengan sangat tertekan,” katanya.
WHO menyatakan, menyedut udara toksik mempunyai akibat kesihatan yang besar seperti strok, penyakit jantung, kanser paru-paru dan penyakit pernafasan yang boleh dicetuskan oleh pendedahan yang berpanjangan.
Jerebu amat ketara pada musim sejuk, apabila udara sejuk dan lebih padat memerangkap pelepasan daripada bahan api berkualiti rendah yang digunakan untuk menggerakkan kenderaan dan kilang di bandar di aras tanah.
Bagi pelukis, Rahmat yang berusia 40 tahun, berkata bau asap toksik menjadi biasa kepadanya.
“Apa yang boleh dilakukan oleh pelukis miskin seperti saya jika kerajaan tidak dapat menyelesaikannya? Saya akan terus memakai topeng dan bekerja,” katanya kepada AFP. – AFP, BH Online –
IMedikel TV