Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pengeluaran akuakultur dan berorientasikan pasaran bagi mendapat hasil yang lebih tinggi.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memperuntukkan sebanyak RM 7.9 juta kepada penternak akuakultur pada tahun ini yang merangkumi aspek perkhidmatan, infrastruktur, teknologi, dan peralatan.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain, dalam teks ucapan berkata bantuan itu disasarkan kepada pengusaha kecil, sederhana dan komersil melalui sistem penyampaian khidmat sokongan akuakultur bagi membantu pengusaha akuakultur dalam mengembangkan lagi industri akuakultur melalui 7 peningkatan produktiviti dalam ternakan dan aplikasi teknologi terkini.
“KPKM melalui DOF kan sentiasa memastikan sektor perikanan mendapat perhatian lebih dengan menjadikan sektor perikanan terutamanya akuakultur antara tumpuan yang perlu dimajukan.
“Usaha itu penting dalam pembangunan akuakultur yang merupakan salah satu sumber makanan yang semakin penting dalam memastikan kelestarian bekalan makanan dunia, terutama di negara ini yang kaya dengan sumber air,”katanya dalam teks ucapan sempena Majlis Perasmian Hari Perikanan Sedunia 2024, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau produk makanan berasaskan perikanan merupakan satu keperluan asas yang perlu diberi perhatian dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara.
“Justeru itu, DOF dan LKIM mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan negara mampu mengeluarkan bekalan makanan dalam sektor perikanan bagi menampung keperluan negara 5 sekaligus memastikan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Dasar Sekuriti Makanan tercapai menjelang tahun 2030,”katanya.
Beliau berkata, selain itu, tidak lupa juga dengan cabaran yang dihadapi dalam sektor agromakanan perikanan khususnya dapat dilihat dalam menghadapi monsun timur laut dan ancaman banjir yang dijangka melanda pada hujung tahun ini yang berisiko kepada para penternak dan nelayan.
Tambahnya hal itu sudah semestinya memberi impak negatif yang ketara kepada industri dan produk perikanan.
IMedikel TV