SAO PAULO: Max Verstappen digelar ‘gila’ selepas menunjukkan salah satu pemanduan cuaca basah terbaik untuk memenangi Grand Prix (GP) Brazil, awal pagi tadi, sekali gus menghampiri gelaran juara dunia Formula Satu (F1) keempat berturut-turut.
Bintang Red Bull itu memenangi perlumbaan yang penuh drama dan hujan di Interlagos selepas bermula dari kedudukan ke-17.
Dengan pesaingnya, Lando Norris, merosot dari posisi pertama ke tempat keenam bersama jentera McLaren, Verstappen kini memiliki kelebihan 62 mata ke atas pemandu Britain itu dengan hanya berbaki tiga perlumbaan lagi.
Dia berpeluang dinobatkan selaku juara dunia di Las Vegas dalam tempoh tiga minggu lagi.
“Saya rasa cukup beremosi, bagaikan menaiki roller-coaster. Emosi saya berubah daripada mahu menghancurkan garaj selepas sesi kelayakan kepada memenangi perlumbaan ini,” katanya kepada wartawan selepas meraih kemenangan ke-62 dalam kariernya.
Dia menambah: “Sangat luar biasa untuk menang dari kedudukan jauh di belakang dan menjangkakan akan kehilangan banyak mata.
“Hujan turun dan kami teruskan juga bersaing di mana ia sangat berisiko. Saya hanya perlu memastikan kereta kekal kompetitif. Keadaan sukar dikawal – bagaikan memandu bot atau jet-ski, jadi hari ini sangat istimewa.”
Verstappen tidak memenangi sebarang perlumbaan dalam 10 pusingan lalu iaitu sejak GP Sepanyol pada Mei.
“Saya hanya mahu perlumbaan yang bersih sekarang. Saya tidak memikirkan mengenai gelaran atau memenanginya di Vegas,” katanya lagi.
Kejayaan awal pagi tadi menjadikan Verstappen pemandu pertama sejak Kimi Raikkonen di GP Jepun 2005 yang menang dari kedudukan ke-17. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV