Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Lambakan kucing jalanan di sekitar bandar dan juga pasar di sekitar Pasir Mas, bukan suatu perkara yang baharu.
Dengan itu, Khairulnizam Mohd Ariffin mengambil inisiatif untuk menubuhkan Rumah Prihatin bagi kucing gelandangan di tapak peninggalan sebuah kem, di Kampung Kubang Terap, di sini, sejak 5 Februari lalu.
“Inisiatif bagi penubuhan rumah ini adalah disebabkan terlampau banyak anak gelandangan (kucing) di luar sana yang terbiar yang memerlukan pembelaan.
“Tidak dinafikan terlalu banyak di pasar, tapak pelupusan sampah. Jadi Rumah Prihatin ini adalah inisiatif untuk membantu mereka,”katanya ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.
Menurut Khairulnizam terdapat lima ruangan untuk penempatan kucing di rumah tersebut.
“Kita ada lima ruangan termasuk ruangan kuarantin untuk kucing yang baru sampai dan diselamatkan, ruangan untuk kucing yang sakit untuk dirawat, ruangan yang dikategorikan sudah sihat, ruangan ibu dan anak serta ruangan isolasi penyakit parvo. Ada lima ruangan utama di Rumah Prihatin.
“Anak-anak bulus pula kita lepaskan secara berkala. Contohnya hari ini ada 10 ekor dilepaskan, esok 10 ekor pula, kita tidak kurung sepenuh masa.
“Di rumah ini kita hanya menjaga kucing-kucing jalanan sahaja dan kami tidak menerima jika ada individu yang menghantar kucing ke sini disebabkan perbelanjaan sangat tinggi setiap bulan di sini,”katanya.
Perbelanjaan bulanan di Rumah Prihatin kira-kira RM16,500 termasuk kos perubatan bagi penyakit sporo dan bayaran gaji pekerja di situ.
Katanya terdapat 47 ekor kucing yang menghidap penyakit tersebut yang memerlukan pengambilan ubat setiap hari dengan kos kira-kira RM250 untuk seekor.
Khairulnizam berkata setakat ini terdapat lebih 400 ekor kucing jalanan di Rumah Prihatin tersebut.
Katanya mereka menangkap kucing di luar serta merawat sehingga mereka sembuh dan seterusnya memandulkan mereka.
Tambahnya, mereka juga membuat “adoption” kepada peminat kucing yang ingin membelanya.
“Kami di Rumah Prihatin ini mengharapkan agar orang ramai membantu anak-anak jalanan ini. Kalau tidak dapat membantu mana-mana “shelter”, sekurang-kurangnya sediakan kibbles (makanan kucing) di dalam kereta.
“Kalau terjumpa kucing jalanan, berilah mereka segenggam makanan, mungkin itu makanan mereka yang pertama dalam minggu ini, kita pun tidak tahu.
“Kita berharap semoga anak-anak jalanan ini dapat pembelaan, ada tempat untuk berteduh, ada tempat untuk menumpang kasih sayang,”katanya.
IMedikel TV