KAMPALA: Sekurang-kurang 14 maut di sebuah kem pelarian di Uganda apabila kilat menyambar sebuah gereja sementara, menurut pegawai, semalam.
Kira-kira 50 orang sedang berada di gereja itu yang terletak di kem pelarian Palabek, utara Uganda, petang kelmarin ketika ribut kuat membadai kawasan berkenaan, kata polis.
Mangsa termasuk lima remaja perempuan dan sembilan lelaki berusia antara 14 hingga 18 tahun, meninggal dunia apabila kilat menyambar bumbung gereja itu, kata Pesuruhjaya Daerah Residen bagi wilayah Lamwo, William Komech, kepada AFP.
Polis turut memaklumkan bahawa sekurang-kurang 34 mangsa lagi mengalami kecederaan dan dirawat di sebuah pusat kesihatan berhampiran. Kebanyakan pelarian terbabit berasal daripada komuniti Nuer di Sudan Selatan.
“Kerajaan sedang bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan agensi lain untuk memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terselamat.
“Pasukan kerajaan sudah berada di lokasi untuk membantu menghantar mayat mangsa kepada keluarga masing-masing,” kata Menteri Pelarian dan Kesiapsiagaan Bencana Uganda, Hillary Onek, kepada AFP.
Uganda mengalami beberapa kes kematian berkait panahan petir dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2011, satu kejadian kilat menyambar di sebuah sekolah rendah telah mengorbankan sekurang-kurang 18 pelajar, manakala sembilan remaja maut dalam satu lagi insiden seumpama pada Ogos 2020. – AFP, BH Online –
IMedikel TV