MSNS AMBIL ALIH PERSATUAN SUKAN BERMASALAH

MSNS AMBIL ALIH PERSATUAN SUKAN BERMASALAH

SEREMBAN: Persatuan sukan di Negeri Sembilan yang didapati bermasalah akan diambil alih sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS).

Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor berkata, langkah itu dibuat sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

“Selepas ini persatuan sukan negeri yang didapati bermasalah akan dikendalikan sepenuhnya oleh MSNS sebagai persiapan kita menghadapi Sukma akan datang di Selangor.

“Langkah agresif ini diambil kerana kita tidak mahu rugi sekiranya mempunyai atlet yang berbakat atau berpotensi tetapi persatuan gagal menguruskannya dengan baik.

“Keadaan ini sudah tentu akan memberi kesan kepada prestasi atlet terbabit dan membantutkan kemajuan sukan negeri,” katanya di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menegur persatuan sukan di negeri itu yang didapati kurang proaktif dalam memajukan sukan dan atlet di bawah jagaan masing-masing.

Keadaan itu menyebabkan prestasi kontinjen Negeri Sembilan di pentas Sukma tidak begitu membanggakan.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, pihaknya tidak mahu atlet berbakat dari Negeri Sembilan disambar pasukan lain disebabkan kelemahan atau kegagalan persatuan sukan.

“Setiap persatuan sukan di Negeri Sembilan perlu memainkan peranan proaktif dalam membantu meningkatkan pencapaian kontinjen negeri di pentas kebangsaan.

“Saya minta kepada pegawai dan pentadbir sukan agar berilah tumpuan kepada program pembangunan yang dirancang dan saya berharap supaya kepentingan peribadi diketepikan demi kemajuan sukan negeri ini,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *