KUALA LUMPUR: “Masalah yang berlaku antara kami kecil saja, mungkin dia terkhayal dengan duniawi. Saya tidak mahu menyalahkan dia sepenuhnya.”
Demikian kata pelakon Idzham Ismail yang bertekad melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya Nur Abilah Shamsudin di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor, pagi tadi.
Idzham ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia juga tidak bercadang untuk kembali rujuk dengan bekas isterinya walaupun pernah berusaha menyelamatkan rumah tangganya.
“Ya sudah selesai semuanya pagi tadi. Saya tak mahu rujuk lagi. Masing-masing sudah tawar hati, jadi nak rujuk pun buat apa.
“Apa yang berlaku saya tak boleh nak kongsi sebab saya mahu menjaga aib dia, termasuk aib saya sebagai suami yang tidak mampu mendidik dia dengan baik,” katanya.
Menurut Idzham, dia reda apabila usaha memujuk isterinya sejak empat bulan lalu tidak menemui jalan penyelesaian terbaik.
“Saya ada cuba pujuk dia sepanjang empat bulan ini. Malah ketika sambutan Aidilfitri lalu kami okay saja,” katanya.
Ditanya adakah keruntuhan rumah tangganya berpunca kehadiran orang ketiga, Idzham menafikan.
“Tiada, dalam pengetahuan saya tiada. Kalau ada pun hanya Allah yang tahu,” katanya.
Terdahulu, pelakon Tarik Aku ke Syurga itu mengakui berdepan kemelut rumah tangga sejak empat bulan yang membawanya dan isteri ke Mahkamah Rendah Syariah Klang pada 10 Oktober lalu.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada Ogos 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Nur Sofea Inara, 7, serta Muhammad Idrus, 4. – HMetro Online –
IMedikel TV