KELANTAN AKUR SEKIRANYA 6 RAKYAT MALAYSIA DITAHAN DI SUNGAI GOLOK, TERBUKTI BERSALAH

KELANTAN AKUR SEKIRANYA 6 RAKYAT MALAYSIA DITAHAN DI SUNGAI GOLOK, TERBUKTI BERSALAH

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan meminta pihak berkuasa Thailand menjalankan tanggungjawab mengikut undang-undang dengan sebaik mungkin berhubung kes enam rakyat Malaysia yang ditahan di Sungai Golok, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, beliau akur sekiranya kesemua mereka didapati bersalah dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara itu.

“Namun saya harap apa yang berlaku itu tidak benar dan secara kebetulan, tapi kalau betul berlaku (bersalah) kita amat sedih.

“Ini menjadi pengajaran kepada rakyat Kelantan dan saya minta supaya kita semua sentiasa berjaga-jaga terutamanya apabila kita ada nama, mesti tunjuk contoh tauladan yang baik kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Invest @ Kelantan Forum & Expo (INFEX) 2024, di sini, hari ini.

Mohamed Fadzli berkata, setiap negeri pasti mempunyai pelbagai masalah jenayah dan sosial tersendiri lebih-lebih lagi  bagi negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

“Benda-benda yang tidak baik terutamanya produk seperti pil kuda yang masuk ke Malaysia terpaksa melalui Kelantan dulu, jadi rakyat kita yang dapat dulu, kalau kita tidak kuat memang kita akan rosak.

“Biarlah orang nak kata apa, yang penting, sebagai pimpinan negeri, kita ingin pastikan kita dapat kawal dengan kerjasama agensi penguat kuasa.

“Alhamdulillah Kelantan ini negeri beragama, ada banyak sekolah arab, ulamak dan masjid juga beroperasi, rupanya Allah ‘plan’ begitu sebab kita berada di barisan hadapan (sempadan negara),” katanya ketika mengulas mengenai kecaman netizan terhadap negeri Kelantan sebagai negeri dikatakan Serambi Mekah.

Terdahulu media melaporkan, rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat moden Kelantan, yang ditangkap di sebuah hotel di Sungai Golok, Jumaat lalu kerana dipercayai memiliki 6,000 pil kuda, dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat, pagi tadi.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *