Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan kasut dan beg tangan pelbagai jenama bernilai RM3.18juta yang dikesan di Jalan Ismail Petra, di sini, pada Isnin.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata operasi jam 1.30 petang itu turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup barangan terbabit ke pasaran tempatan.
“Semasa penugasan Op Taring Wawasan pihak kami mengesan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 9,369 pasang kasut pelbagai jenama seperti Nike, Adidas, Timberland dan 1,866 unit beg tangan pelbagai jenama seperti LV, Chanel, Coach yang disyaki diseludup dari Thailand dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM3.18 juta ditemui di dalam lori tersebut tanpa dokumen yang sah,”katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.
IMedikel TV