KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah menyifatkan harga tiket VIP Box, RM7,500 yang ditetapkan penganjur Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura mungkin akan dibeli oleh peminat setianya.
Jamal, 65, berkata, sebagai penyanyi untuk konsert itu dia menghormati pihak penganjur yang menetapkan harga tiket berkenaan kerana ia mesti sudah difikirkan dengan sebaiknya terlebih dulu.
“Saya bukan ‘production team’, saya cuma artis yang melakukan konsert itu. Pihak penganjur, Live Injection yang meletakkan harga (tiket). Jadi, tak tahulah cara mana pandangannya (penganjur).
“Mungkin juga ada peminat-peminat setia saya yang sanggup membeli dan membayar tiket semahal itu (RM7,500),” katanya ketika ditemui pada sidang media baru-baru ini.
Ditanya juga kebimbangannya terhadap jualan tiket konsert itu walaupun sudah sering membuat persembahan berskala besar, Jamal berkata, perasaan risau itu tetap ada.
“Memandangkan ‘public’ boleh tengok saya di TV, boleh tengok saya di mana-mana tempat persembahan, jadi memang membimbangkan saya juga sekiranya menjejaskan jualan tiket.
“Itu memang saya ada risau sedikit (jualan tiket). Tapi, sebagai seorang yang membina kerjaya penyanyi, saya terpaksa terima tawaran-tawaran yang mana berbaloi. Saya tak boleh tolak.
“Kalau saya tumpukan kepada satu benda saja dan yang lain saya tak terima pun, sudah tentu saya yang rugi. Jadi, memang ada kesan juga apabila saya sering muncul dalam konsert, acara korporat dan ‘dinner show’,” katanya.
Menurut Jamal, dia bagaimanapun berharap penjualan tiket konsertnya tetap laris dan mendapat sambutan ramai kerana persembahan akan dibuat nanti semestinya tidak menghampakan penonton dengan rangkaian lagu popular.
Sehubungan itu, Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur (KL) pada 15 Februari depan dengan harga tiket antara RM340 hingga RM395. – HMetro Online –
IMedikel TV