Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Masalah kemurungan dalam kalangan lelaki mencatat peningkatan dari 2 peratus pada tahun 2019 kepada 3.9 peratus pada 2023.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata namun sikap lelaki yang lebih suka menafikan masalah kerana budaya dalam masyarakat yang beranggapan bahawa lelaki perlu kekal ‘kuat’.
“Masalah kesihatan lelaki secara umumnya kurang diberi penekanan dalam kalangan masyarakat.
“Antara fokus utama yang digariskan dalam Pelan Tindakan Lelaki Kebangsaan (2019-2023) adalah penyakit pembengkakan kelenjar prostat, kanser prostat, disfungsi erektil, kesihatan mental, faktor risiko penyakit kardiovaskular dan kemalangan atau trauma kenderaan bermotor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, beliau merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2024 di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, objektif utama pelan tindakan itu adalah untuk meningkatkan kualiti hidup dan mencapai kesetaraan jantina dan kesihatan yang lebih baik untuk lelaki dengan menumpukan kepada enam isu utama yang tersebut.
“Bagi mengukuhkan kelestarian perkhidmatan kesihatan lelaki di Malaysia, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga kini melaksanakan semakan semula pelan tindakan tersebut.
“Di samping itu, pelan ini akan meneruskan kesinambungan rangka kerja yang telah dirancangkan bagi membanteras peningkatan ketara isu kesihatan lelaki di negara ini,” katanya.
Tambahnya, selaras dengan pelan tindakan itu, KKM telah menerbitkan Garis Panduan Pengesanan Awal Masalah Kesihatan Reproduktif Lelaki di Penjagaan Kesihatan Primer bagi menangani isu-isu yang berkait dengan masalah sistem reproduktif lelaki di klinik kesihatan.
“Perkhidmatan saringan sistem reproduktif lelaki telah dijalankan secara berfasa mulai tahun 2024 dan akan diperluaskan kesemua klinik kesihatan pada tahun 2025.
“Garis panduan ini diharapkan dapat mengukuhkan pengurusan perkhidmatan terutamanya bagi penyakit pembengkakan kelenjar prostat, kanser prostat dan disfungsi ereksi,” katanya.
IMedikel TV