LISBON: Ruben Amorim menegaskan bahawa kemenangan menakjubkan 4-1 Sporting Lisbon ke atas Manchester City dalam Liga Juara-Juara, awal pagi tadi, tidak menjamin beliau mampu memberikan impak segera di Manchester United.
Pengurus Sporting itu sudah menerima tawaran United untuk menggantikan Erik ten Hag dan akan secara rasmi mengambil alih kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bermasalah itu pada 11 November ini.
Dianggap sebagai salah seorang pengurus muda terbaik di Eropah, pengendali berusia 39 tahun itu membuktikan kehebatannya apabila Sporting mendedahkan kelemahan pertahanan City yang dibelenggu kecederaan.
Phil Foden meletakkan City di depan sejurus selepas perlawanan bermula di Stadium Jose Alvalade, tetapi pasukan pelawat mensia-siakan beberapa peluang untuk menambah jaringan, dan Sporting mengambil kesempatan itu.
Viktor Gyokeres menyamakan kedudukan sebelum separuh masa, dan Maximiliano Araujo menjaringkan gol kedua untuk Sporting selepas rehat, sebelum dua penalti Gyokeres melengkapkan kebangkitan luar biasa tuan rumah.
Amorim, yang membawa Sporting meraih dua gelaran Liga Portugal dalam tempoh empat tahun, akan mengemudi perlawanan pertama United di Ipswich pada 24 November.
Namun beliau menafikan kemenangan hari ini membuktikan bahawa dirinya mampu menghidupkan kembali era kegemilangan United yang mengalami permulaan terburuk sejak musim 1986-87.
“Apa yang saya boleh katakan ialah ini tidak membawa maksud apa-apa secara khusus, jangan buat kesimpulan daripada perlawanan ini.
“Ia mengelirukan, kami sangat bernasib baik hari ini. Kami tidak boleh membawa satu realiti ke dalam realiti lain.
“Manchester United tidak boleh bermain seperti kami bermain dan kami perlu menyesuaikan diri,” kata Amorim.
Amorim diraikan oleh peminat Sporting sepanjang perlawanan terakhirnya di tempat sendiri, sebelum barisan pemainnya memberi tanda perpisahan dengan mengangkatnya ke udara selepas wisel penamat.
“Hubungan dengan pemain saya, detik bersama penyokong sangat istimewa. Jadi saya akan bawa semangat ini ke Liga Perdana.
“Apabila saya tiba di sana, ia adalah dunia berbeza, tekanan berbeza. Saya akan cuba menjadi diri sendiri. Ia pasti menyeronokkan, sangat menyeronokkan dan saya sudah bersedia,” kata Amorim. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV