Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Batalion (BN 7) Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 3.1kg dadah jenis syabu bernilai RM99,200 yang disorok dalam bonet belakang sebuah kereta di SJR Banggol Kong, Jeram Perdah di sini, pada Selasa.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, dua lelaki turut ditahan kerana disyaki memiliki dan mengedar dadah.
“Tangkapan dilakukan sepasukan anggota BN 7 PGA pada jam 11.30 malam apabila menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugas dalam Op Taring.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 3.1 Kg dadah jenis syabu disorok dalam bonet belakang kereta.
“Kami turut merampas sebuah kereta jenis Volkswagen bernilai RM 60,000, 4 unit telefon bimbit berlainan jenis bernilai RM 8,000, dan wang tunai berjumlah RM 36,155 menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM 203,355,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya dua suspek berumur 36 dan 44 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya hasil saringan awal ujian air kencing juga menunjukkan dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Sek 39B dan Sek 15(1)(a) ADB 1952. Suspek telah dibawa kepada IPD Pasir Mas Kelantan untuk tindakan selanjutnya,”katanya.
IMedikel TV