Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua warganegara Malaysia kerana menggunakan perkhidmatan van Road Tour di laluan pejalan kaki berhadapan Kompleks ICQS Rantau Panjang, semalam.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman, berkata mereka yang ditahan melibatkan 13 lelaki dan 22 perempuan (Indonesia), lapan lelaki dan satu wanita Thailand, manakala satu lelaki Myanmar serta dua lelaki warganegara Malaysia.
“Kesemua mereka berusia lingkungan 23 hingga 67 tahun.
“Hasil risikan yang dilakukan, mereka disyaki dengan munasabah melanggar peraturan dan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Nik Akhtarulhaq berkata, kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang, Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Ops Serkap pada jam 9 malam tadi dijayakan dengan kekuatan seramai 15 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Kelantan dan kerjasama JIM Ibu Pejabat, Putrajaya,” katanya.
JIM Kelantan turut menggesa setiap majikan agar membayar gaji warga asing yang mempunyai pas yang sah dan mengingatkan supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang aktiviti mereka yang menyalahi undang-undang.
Dalam pada itu, beliau berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI.
IMedikel TV