KANAK-KANAK DI NEW DELHI TERKURUNG BERIKUTAN PENCEMARAN, IBU BAPA MISKIN BUNTU SEDIAKAN KEPERLUAN ANAK

KANAK-KANAK DI NEW DELHI TERKURUNG BERIKUTAN PENCEMARAN, IBU BAPA MISKIN BUNTU SEDIAKAN KEPERLUAN ANAK

NEW DELHI: Hampir dua juta pelajar di New Delhi diarahkan berada di rumah selepas pihak berkuasa sekali lagi mengarahkan sekolah ditutup berikutan pencemaran udara yang semakin memburuk.

Keadaan itu boleh dikatakan berlaku setiap tahun dengan jutaan kanak-kanak terpaksa berada di rumah dan meneruskan pembelajaran secara dalam talian susulan paras udara di wilayah New Delhi menjadi semakin toksik setiap kali musim sejuk.

Ia berikutan pembakaran jerami di negeri sekitar New Delhi, asap pengangkutan dan industri, pembakaran terbuka sisa buangan serta habuk dari tapak pembinaan.

Dasar ini memberi kesan kepada pendidikan dan kesejahteraan murid sekolah di sekitar bandar, khususnya kanak-kanak daripada keluarga miskin di Gautam.

Murid berusia sembilan tahun, Harshita Gautam adalah antara kanak-kanak yang terkurung di dalam rumah dan terpaksa meneruskan sesi pembelajaran menggunakan telefon bimbit murah ibunya.

“Saya tidak suka kelas dalam talian.

“Saya lebih suka belajar di sekolah dan bermain di luar tetapi pencemaran semakin memburuk,” katanya kepada AFP.

Kedua-dua ibu bapanya berpendapatan kecil dengan bapanya yang menghidap polio bekerja di gerai makan di tepi jalan dan ibunya seorang pembantu rumah.

Kedua-duanya tidak berkemampuan dan tidak mempunyai wang membeli pembersih udara atau mengambil langkah lain untuk melindungi keluarga daripada asap akibat pencemaran.

Berikutan anak mereka berada di rumah, ia menyebabkan beban kewangan bertambah.

Mereka biasanya bergantung kepada program makan percuma di sekolah dengan Gautam setiap hari diberi makan tengah hari.

“Apabila dia di sekolah, saya tidak perlu risau mengenai pelajaran atau makanan mereka. “Di rumah, mereka hampir tidak dapat langsung perhatian.

“Mengapa anak-anak kita perlu menderita? Pihak berkuasa mesti mencari jalan penyelesaian,” kata ibu Gautam, Maya Devi kepada AFP.

Delhi dan kawasan metropolitan di sekitarnya, yang menempatkan lebih 30 juta penduduk secara konsisten mendahului kedudukan dunia bagi pencemaran udara. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *