ARPRM GALAK PEMBANGUNAN KEMAHIRAN REMAJA

ARPRM GALAK PEMBANGUNAN KEMAHIRAN REMAJA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) adalah program pembangunan potensi diri yang menyediakan belia menempuhi cabaran ke arah kematangan diri dan mencapai potensi diri.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria dalam ucapannya berkata, peserta perlu melalui pelaksanaan empat komponen aktiviti wajib bagi melaksanakan program itu.

“Peserta perlu melaksanakan empat komponen aktiviti wajib iaitu khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak.

“ARPRM terbahagi kepada tiga tahap iaitu tahap emas, tahap perak dan tahap gangsa,”katanya dalam ucapan sempena Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda The Duke Of Edinburgh’s International Award (Pingat Gangsa Dan Perak) Peringkat Negeri Kelantan 2024, di sini, pada Khamis.

Tambahnya setiap tahap perlu melengkapkan empat komponen wajib iaitu komponen khidmat masyarakat, komponen kemahiran, komponen rekreasi fizikal dan komponen penjelajahan lasak serta satu komponen tambahan bagi tahap emas iaitu projek penempatan selama empat hari tiga malam di luar dari kawasan atau daerah kediaman.

“Antara kepentingan ARPRM daripada segi pendidikan adalah golongan belia yang menerima pendidikan secara relevan dan berkualiti sama ada secara rasmi atau tidak rasmi memboelhkan mereka melibatkan diri dalam aspek sosial, ekonomi dan politik.

“Program secara tidak formal ini menggalakkan pembangunan kemahiran remaja seperti keyakinan diri, kesedaran kendiri, motivasi diri dan kepercayaan kendiri yang mana ia akan membuatkan peserta memberikan komitmen sepenuhnya apabila melaksanakannya,”katanya.

Manakala dari segi peningkatan dalam kehidupan bermasyarakat pula penyertaan aktif peserta di dalam bidang kesukarelaan, sukan dan pelbagai aktiviti lain melalui program itu membolehkan mereka meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kematangan diri selain daripada memupuk kesedaran dan keyakinan diri mengenai isu-isu sosial dan globalisasi serta sifat empati dan tanggungjawab terhadap orang lain.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *